Wednesday, March 24, 2010

Kata Aluan Pengetua

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Selamat Tahun Baru 2010 dan Selamat Kembali Bertugas.


Alhamdulillah, sama-sama kita bersyukur kepada Allah SWT yang memanjangkan usia serta memberi afiat kepada kita semua. Justeru itu, dapatlah kita menyambung tugas dan tanggungjawab yang kian besar yang diamanahkan kepada kita.
Blog sekolah ini diterbitkan bertujuan memaparkan berita-berita serta aktiviti-aktiviti sekolah yang telah  direncanakan untuk warga SMKM. Disamping itu, perkongsian maklumat dan idea dapat dikongsi bersama  melalui blog ini.
Kita mempunyai klien yang harus diberi khidmat iaitu pelajar dan masyarakat. Kita harus menyempurnakan kerja kita dengan penuh ketulusan, mustakim, dedikasi dan iltizam. Harapan pelajar dan ibubapa adalah amat besar sebagaimana besarnya harapan kita kepada guru-guru lain yang mengajar dan mendidik anak-anak kita.
Kita harus sedia bangun dari lantai keselesaan dan keluar dari kamar mimpi kita,menjenguk ke halaman masa depan anak-anak kita, mencari jalan perubahan, memperbaharui sikap dan azam serta cuba melaksanakan tugas mengajar, membimbing dan mendidik mereka dengan penuh tanggungjawab. Tidak ada jalan mudah atau jalan pendek untuk merealisasikan cita-cita dan harapan ini. Akan ada saja masalah, kekangan, halangan, kekecewaan kegagalan tetapi kita harus banyak bersabar, berkorban dalam apa jua keadaan demi kesejahteraan dan masa depan pelajar-pelajar kita.
Kita juga harus memperluaskan pengguna ICT di kalangan warga SMKM dan juga masyarakat tentang kepentingannya dalam dunia masa kini. Kita hendaklah sentiasa mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kerja, bersungguh-sungguh dan sentiasa berusaha untuk membaiki dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Pengurusan sekolah tidak mungkin dapat merealisasikan semua cita-cita ini secara bersendirian tanpa sokongan, bantuan, kerjasama dan komitmen yang tinggi guru-guru dan staf sokongan. Hanya dengan cara itu sahajalah kita akan dapat menikmati kepuasan kerja sebenar dan mendapat keredaan Illahi.


TN HJ OSMAN B AHMAD
Pengetua
SMK Merbok